Welcome to Eja Farieza's Blog. ! check it out. :)

Sabtu, Oktober 31, 2009

Falsafah Pantun Melayu

Pantun: Satu Analisis Semiotik
En. Fauzi bin Abdullah

Pantun ditinjau dalam hubungannya dengan pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama, mempunyai kedudukan istimewa. Keistimewaan pantun terletak pada keserhanaan serta kepadatan bentuk dan strukturnya. Sebait pantun memancarkan keindahan pengucapan yang merangkum ketinggian budi, keluasan serta kedalaman pemikiran.

Cuba kita telitikan sebuah pantun yang cukup popular ini:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Secara lateral, dua baris pembayang berkenaan menceritakan bahawa ada sesisir/setandan pisang emas dibawa oleh seseorang sewaktu belayar. Pisang itu diletakkan di atas peti. Pisang itu kemudiannya masak. Walau bagaimanapun,pisang tersebut tidak masak sekaligus tetapi sebiji-sebiji.

Pada baris 3 dan 4 di bahagian maksud, kita diketemukan dengan kisah orang yang berhutang. Ada dua bentuk hutang iaitu hutang barangan emas dan hutang budi. Jika seseorang berhutang barangan emas, hutang tersebut boleh dibayar oleh si pemiutang, tetapi kalau ia berbentuk budi, maka hutang itu tidak dapat dibayar melainkan dibawa mati.

Melalui rangkap pantun ini, kita disuakan dengan 4 kisah berlainan yang kelihatannya tidak saling berhubungan antara satu sama lain iaitu :

1. Kisah orang belayar.
2. Kisah pisang emas masa di atas peti.
3. Kisah hutang emas.
4. Kisah hutang budi.

Oleh itu, untuk mendapatkan signifikannya haruslah dicari perkataan utama yang menjadi penanda untuk baris pembayang dan baris maksud. pembayang ditandai kata kunci 'belayar' dan maksud ditandai kata kunci 'hutang'. Dalam konteks ini, 'belayar' adalah akibat dan 'hutang' adalah sebab. Seseorang harus belayar untuk membawa hutangnya. Hutang menjadi sebab untuk seseorang belayar. Dengan ini 'belayar' menjadi indeks yang boleh diertikan kekayaan/kekuasaan. Oleh itu, 'belayar' berindeksikal dengan 'hutang'.

Kalau pernyataan ini diterima, maka jelaslah bahawa bahagian pembayangnya sudah membayangkan maksud pada bahagian maksudnya. Bahagian maksud baru mendapat makna penuh sebagai semiotik dalam kontrasnya dengan hipogram (latar) pembayang yang ditransformasikannya.

Pada tahap bacaan retroaktif, timbul pelbagai pertanyaan di fikiran pembaca mengenai diksi dan struktur kata yang dipilih dalam teks berkenaan.

Kenapa pisang tidak buahan lain?
Mengapa pisang emas tidak pisang lain?
Mengapa harus dibawa pisang emas tersebut?
Mengapa dengan cara belayar tidak cara lain?
Mengapa harus belayar?
Mengapa pisang itu harus dimasakkan sewaktu dalam pelayaran?
Mengapa masaknya sebiji/sebiji-sebiji sahaja tidak semua sekali?
Mengapa pisang diletakkan di atas peti tidak di bawah/di dalam peti?
Mengapa peti bukan benda atau tempat lain?
Mengapa berhutang?
Apakah bezanya hutang emas dengan hutang budi?
Apakah emas, apakah budi itu?
Mengapa boleh? Bolehkah kalau tidak boleh?
Mengapa dibayar? Bolahkah kalau tidak dibayar?
Mengapa harus mati, tidak sakit atau dihidupkan terus?
Apakah yang mati itu?
Mengapa harus dibawa mati?

Apakah makna semua kod kata-kata di atas?

Secara horizontal pula, kita kan tertanya-tanya apakah kaitan antara:

Pisang emas dengan bawa belayar?
Hutang emas dengan bawa belayar?
Masak sebiji dengan di atas peti?
Hutang budi dengan di bawa mati?

Sementara secara vertikal pula, kita akan tertanya-tanya apakah pula kaitan antara:

Pisang emas dengan hutang emas?
Masak sebiji dengan hutang budi?
Bawa belayar dengan boleh dibayar?
di atas peti dengan dibawa mati?

Apakah makna semua kod kata yang saling berkait secara tumpang-tindih, simpang-peranang dan sirat-jala tersebut? Jelaslah bahawa dunia ghaib pantun harus dirungkai serapi mungkin, agar kita dengan jelas dapat menanggap realiti sosial (makna sosial) di bahagian pembayang yang menjadi hipogram realiti teks (makna teks) di bahagian maksudnya selepas melalui suatu proses transformasi yang begitu kompleks sifatnya.

Seribu satu macam pertanyaan misteri mengasak fikiran kita. Tanpa sedar kita harus meniti jambatan ‘manifestasi simiosis’ untuk keluar dari daerah kabur ke satu daerah yang utuh-daerah semiotik. Kita harus mencari, memberi, menjenis dan memaknakan kod mimetik, bukan hanya pada perkatan tapi hubungan antara kata ke kata, kata ke baris, baris ke baris dan bahagian ke bahagian.

Kita harus mencari penanda-penanda pada kod-kod lambang sama ada berupa ikon, indeks atau simbol. Untuk mendapatkan makna yang tetap ini, ia boleh dianalisis dengan dua hipogram.

Hipogram I berupa semi-andaian. Kita mungkin sahaja memberi andaian awal bahawa ‘pisang emas’ berikonik dengan ‘hutang emas’ bukan sahaja secara linguistik tetapi berdasarkan kesejajaran sifat antara keduanya. Berhutang emas sama sedapnya seperti memakan pisang emas.

Hipogram II,kita mengesan kod klise/tanggapan biasa pembaca. Pembaca telah terbiasa dengan kod ‘hutang’ yang sering menjadi indeks dalam kehidupan harian mereka. ‘Hutang’ merujuk kepada pemilikan harta yang menandakan pertentangan kelas antara kaya dan miskin. Si kaya sebagai penghutang sementara si miskin menjadi pemiutang. Hutang biasa ditanggap dalam dua bentuk iaitu hutang barangan (benda) dan hutang budi (emotif).

Pada worl-view umum, hutang emas boleh dibayar, (kerana ia berbentuk barangan), namun hutang budi akan kekal abadi hingga ke akhir hayat kerana berbentuk emotif. Seringkali pula hal-hal yang berbentuk emotif seperti budi berikonik dengan mati. Pada koda budaya, setiap manusia secara sedar atau tidak pasti berhutang dalam hidupnya, paling tidak ‘berhutang’ dengan tuhan secara emotif.

Sekarang kita beralih kepada proses pembongkaran kod kata untuk mencari signifikan makna teks secara lebih jelas dan jitu.

‘Pisang’ adalah sejenis buahan popular yang dimakan oleh orang Melayu. Pada koda budaya pemakanan Melayu ada 3 jenis makanan yang boleh bertukar ganti (pada keadaan tertentu menjadi makanan ruji) iaitu padi/beras/nasi, ubi dan pisang. Pisang adalah simbol kemiskinan. Orang kaya lebih kerap menjadikan pisang hanya sebagai pembasuh mulut sahaja. Pisang banyak ditanam dan dianggap penting oleh petani kampung yang secara indeksikalnya miskin. Orang kaya menanam pisang hanya kerana hobi atau sebagai penghias halaman rumah sahaja. Ternyata pisang amat penting dan berpengaruh dalam kehidupan orang Melayu.

Sifat pisang yang sedemikian rupa berikonik dengan sifat hutang bukan sahaja secara linguistik tetapi juga secara semantik. Seperti mana ‘pisang’, ‘hutang’ juga merupakan simbol kemiskinan. Orang miskin kebanyakannya terpaksa berhutang demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Dalam pengertian yang lebih luas, semua orang sebenarnya berhutang. ‘Hutang’ menjadi simbol kepada keperluan hidup manusia. Kita tidak hanya berhutang wang/barangan tapi budi dan emosi. Oleh itu, sama seperti ‘pisang’ yang menjadi keperluan jasad, maka ‘hutang’ pula bukan sahaja merupakan keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup jasad malah batiniah juga. Jelasnya ‘pisang’ dan ‘hutang’ sama-sama penting dalam hidup kita.

Mengapa pula dipilih ‘pisang emas’ dari sekian banyak jenis pisang? Jawabnya, kerana pisang emas adalah pisang yang rasanya paling sedap berbanding pelbagai jenis pisang yang ada. Warna segar keemasannya sangat memikat, walaupun ia adalah antara pisang yang bersaiz kecil. Dari aspek botani, warna buah, susun atur buah disisir dan ditandannya serta bentuk fizikal pohonnya lebih cantik dari pohon-pohon pisang lain. Secara linguistik dan semantiknya, ‘pisang emas’ berikonik dengan ‘hutang emas’. Berhutang memang sedap dan memikat. Tidak kiralah sama ada hutang yang besar seperti hutang emas mahupun hutang yang kecil seperti hutang budi. Malah semakin kecil (seni) hutang tersebut, makin tinggi nilainya. Worl-view masyarakat Melayu terhadapakeperkasaan di kecil telah lama berakar umbi dalam cerita-cerita rakyat. Sang Kancil berbadan kecil tapi lebih perkasa (pintar) dari Sang Harimau yang berbadan besar.

Kerana itulah ‘hutang emas’ yang bersifat kasar berikonik dengan ‘belayar’ yang berkonotasi kekasaran dan penderitaan. Sementara ‘pisang emas’ yang berikonik dengan ‘budi’ dimuliakan ‘di atas peti’ dan kesannya tersemadi ‘di hati hingga mati’.

Mengapa pula harus ‘pisang emas yang dibawa belayar? Apakah pula kaitannya antara ‘pisang emas-belayar-hutang emas-hutang budi?’ Pada satu sisi telah dijelaskan bahawa ‘pisang’ adalah simbol kemiskinan dan kekayaan. Orang miskin terpaksa belayar di atas kapal kepunyaan orang kaya untuk membayar hutangnya. ‘Belayar’ adalah simbol sekaligus adalah indeks pada kekayaan. Orang akan belayar mencari kekayaan. Orang kaya akan belayar untuk mencari kekayaan dan kekuasaan.

Hal ini banyak tergambar dalam cerita rakyat atau cerita penglipur lara. Si Tenggang belayar untuk mencari kuasa dan harta. Pelayaran memakan masa yang lama. Untuk mengharungi masa yang getir meredah lautan luas. Mereka harus membawa bekalan. Dan bekalan terbaik tentulah pisang, dan pisang yang terbaik tentulah pisang emas. Pada koda budaya pelayaran Melayu, hanya pisang emas sahaja yang lazimnya dibawa orang untuk belayar.

Dunia pelayaran adalah dunia yang lengkap. Di atas kapal tersebut terbentuk suatu komuniti yang saling bergantungan antara satu sama lain dalam meneruskan keperitan hidup di samudera raya luas. Tentu sahaja kebergantungan tersebut menjadikan mereka harus ‘berhutang’ antara satu sama lain sama ada dalam bentuk barangan (emas) mahupu emotif (budi). Dan semua hutang tersebut pada dasarnya akan mereka jelaskan apabila berada di dataran nanti. Namun bukan tidak mungkin mereka meninggal sewaktu pelayaran. Dunia pelayaran adalah dunia penuh risiko. Oleh itu mereka telah memperingati diri sendiri (dan orang lain juga) bahawa ‘hutang’ yang nantinya sempat dibayar dan akan ada juga yang tidak sempat dibayar tidak kiralah sama ada hutang barangan (emas) atau hutang budi.

Latar dan suasana ‘belayar’ yang secara luasnya dapat disimbolkan sebagai hidup dan perjuangan mengajar mereka untuk berhati-hati, bersyukur dan memuliakan hasil jerih lelah mereka. Kerana itulah ‘pisang’ yang penuk nikmat tersebut harus ‘dimasakkan’ secara berdikit-dikit (sebiji/sebiji demi sebiji) agar mereka dapat menikmati hasilnya semaksimum mungkin. Sifat berjimat cermat ini membolehkan mereka mengumpulkan kekayaan sebanyak mungkin untuk dibawa pulang, yang akhirnya membolehkan menjadi kaya-raya, punya kuasa dan dihormati.

Itulah versi dan misi hidup yang mereka muliakan dan seringkali diingatkan. Kerana itulah ‘pisang’ tersebut diletakkan ‘di atas peti’. Kalau disimpan pisang tersebut di dalam atau di bawah peti, mereka mungkin lupa diri dan tujuan ‘pelayaran’ mereka kerana ‘pisang’ yang menjadi visi dan misi mereka terselindung dari pandangan mata.

Sememangnya perjuangan hidup tidak akan selesai. Semakin getir hidup kita, semakin tabah semangat dan perasaan kita. Semakin lama hidup, semakin kaya kita dengan aneka ragam pengalaman. Ada yang boleh kita ‘bayar’ (manfaatkan di dunia) dan ada yang menjadi nostalgia abadi yang tersemat disanubari; yang kita ingat, kenang dan sanjung sampai mati; yang mengulit mimpi-mimpi indah kita di alam barzakh. Maka ‘budi’ baik yang diterima sewaktu di dunia akan dikunci ‘di peti hati’ lalu bersemadilah ‘budi’ dan ;kematian’ kita ‘di dalam peti’ untuk selama-lamanya. Dengan ini ‘peti’, ‘budi’ dan ‘mati’ adalah simbol yang saling berhubungan secara ikonik-ikonik antara dua dunia; dunia kehidupan dan dunia kematian.

Demikianlah kita melihat betapa pujangga dahulu kala dengan penuh keindahan, keajaiban dan kekreatifannya mentransformasikan realiti sosial yang direnungi dan ditanggapinya menjadi realiti teks dengan penuh seni dan kias ibarat.

Dengan ini terdirilah serangkap pantun sebagai satu kesatuan bentuk yang membawa makna yang utuh tanpa perlu memisahkan struktur pembayang dan maksudnya.

*Begitulah, keunikan, kepujanggaan dan kesarjanaan pantun Melayu yang sarat dengan pemikiran aras tinggi Melayu yang masih tidak berjaya dicerobohi atau diciplak oleh penyair dan tokoh-tokoh Barat.





Terima Kasih Daun Keladi! Kalau Senang Datanglah Lagi. Hik3!!

Teratak Za'ba, N9

"Bahasalah yang akan dapat menambahkan kepandaian ilmu bangsanya kerana hanya bahasa yang boleh menjadikan manusia berilmu dan berakal".

"Beriman yang disertakan beramal, berusaha, berjihad dan berjuang? Ya, berjuang membaiki akhlak diri, berjuang membaiki sifat-sifat dan perangai...berjuang membaiki kelakuan hidup, berjuang membaiki segala yang kekurangan, pendeknya berjuang mengusahakan segala yang kebajikan dan menjauhi segala kejahatan serta berjihad dan berijtihad memadankan diri dengan perubahan-perubahan hal yang diedarkan oleh zaman!".

*hanya sempat mencatatkan dua bicara Za'ba sewaktu mengunjungi Teratak Za'ba,N9 jam 5.00 petang (10 Oktober 2009)

Terima Kasih Daun Keladi! Kalau Senang Datanglah Lagi. Hik3!!