Welcome to Eja Farieza's Blog. ! check it out. :)

Isnin, Mac 09, 2009

Nasionalisme dalam Islam: Penting atau Berkepentingan?

Saya baharu sahaja selesai membaca buku tulisan 'Faisal Tehrani', 'Surat-surat Perempuan Johor' beberapa hari yang lalu. (saya merupakan peminat novel-novel Faisal Tehrani). Banyak perkara dan maklumat penting yang saya perolehi setelah membaca buku tersebut. Walaupun buku tersebut telah lama berada di pasaran, baru kali ini saya terdetik hati untuk memilikinya.


Buku tersebut berkisar tentang perjuangan seorang perempuan Johor dalam golongan kerabat yang mahu mempertahankan maruah diri, bahasa, agama, masyarakat dan negara. Saya begitu teruja dan sangat berbangga dilahirkan sebagai perempuan Johor. Tetapi apa yang menyentuh hati saya adalah seorang perempuan yang dianggap lemah, mampu memperjuangkan kebenaran dan 'hak' dengan cara yang tersendiri. Salah satu elemen penting yang diceritakan dalam buku tersebut - semangat cinta akan negara. Semangat saya terbangkit apabila terbacakan tentang hal tersebut (membaca dengan akal, hati dan perasaan). Maka, saya terpanggil untuk menulis sebingkis luahan pandangan tentang nasionalisme.



Nasionalisme. Berbicara mengenai nasionalisme. Apa sebenarnya yang kita faham tentang perkataan nasionalisme? Secara literal berdasarkan kamus, nasionalisme bermaksud perasaan cinta pada negara dan bangsa sendiri. Mengikut pendefinisian lain nasionalisme bermaksud satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara (dalam bahasa Inggeris "nation") dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia. Dalam zaman moden ini, nasionalisme merujuk kepada amalan politik dan ketenteraan yang berlandaskan nasionalisme secara etnik serta keagamaan. Para saintis politik biasanya menumpukan penyelidikan mereka kepada nasionalisme yang ekstrim seperti nasional sosialisme, pengasingan dan sebagainya.


Melihat akan maksud literal yang kita ketahui, nasionalisme merupakan semangat atau perasaan cinta akan negara. Berdasarkan maksud nasionalisme di atas ‘nasionalisme secara etnik dan keagamaan’. Kita mungkin sudah dapat meneka ada sesuatu yang tersirat dalam maksud yang diutarakan. Jika kita melihat konotasi maksud perkataan tersebut secara tersurat, sudah pasti akal logik kita menyatakan persetujuan tentang kepentingan dan kebaikan seseorang insan mempunyai semangat sebegini dalam dirinya. Tetapi, pernahkah kita berfikir sejenak di luar kotak tentang maksud tersirat disebalik perkataan tersebut?


Pada mulanya, saya sendiri merasakan nasionalisme itu sangat penting untuk menjadi seorang warganera Malaysia dan insan yang baik dan berkualiti. Tetapi, apabila saya terbacakan sebuah novel hasil tulisan ‘Faisal Tehrani’, semangat cinta akan negara ini sebenarnya hanyalah helah dan tipu daya penjajah laknatullah untuk mewujudkan jurang dalam hidup seorang insan, apatah lagi bagi umat Islam.


Nasionalisme yang dimomokkan oleh penjajah ini sebenarnya merupakan salah satu ‘pekerjaan’ mereka untuk menjajah minda, memesongkan kebenaran dan jati diri kita sebagai seorang muslim. Sebenarnya inilah tipu daya mereka untuk melakukan pemisahan agama dari dunia. Apabila semangat kebangsaan ini sudah sebati dalam diri kita sebagai seorang muslim, kita langsung tidak menghiraukan ‘saudara’ kita di luar sana dek kerana nasionalisme ini. Kononnya mahu menjaga keamanan dan kedaulatan negara sendiri, sedangkan apa yang lebih penting adalah semangat ‘kesatuan roh’ dalam kalangan muslim. Saya tidak menidakkan bahawa peri pentingnya nasionalisme ini kepada setiap individu, tetapi apabila kesan akhirnya membawa kepada sikap individualistik, maka nasionalisme ini bukan lagi sesuatu yang boleh dibanggakan bagi setiap individu. Nasionalisme bukan lagi sesuatu yang penting tetapi berkepentingan yang akhirnya menguntungkan pihak penjajah laknatullah yang mahu melihat kondisi kita di Malaysia semakin hari semakin terhakis sikap prihatin dan kasih sayang terhadap ‘saudara’ kita. Inilah agenda yang telah direncana oleh ‘mereka’ sejak beratus-ratus tahun dahulu. Kita yang tidak mahu berfikir panjang hanya menerima seadanya seperti ‘lembu dicucuk hidung’.


Apa yang lebih memilukan hati saya, sikap generasi muda yang endah tak endah dengan kondisi negara kini. Sikap sambalewa dan membudayakan hedonisme sudah menjadi ‘kiblat hakiki’ dalam kehidupan mereka. Sejarah keunggulan tamadun bangsa Melayu dan sejarah perluasan empayar Islam tidak lagi dikaji dan diselidiki, malah generasi muda kini masih lagi leka dan terus hanyut dengan ‘agenda’ si penjajah laknatullah. Generasi muda kini, masih tidak mengerti peranan besar mereka dalam membina empayar kegemilangan tamadun Melayu dan Islam. Sekiranya nasionalisme ini tidak dapat difahami dan ditelusuri dengan baik, maka yang tinggal hanyalah ‘abu semangat’ nasionalisme. Persoalannya, adakah kita hanya akan terus selamanya duduk berdiam diri ibarat ‘katak di bawah tempurung’ dan akhirnya menjadi ‘balaci’ di negara sendiri??? Tepuk dada tanyalah iman.



Jadi, adakah kita masih mahu terus leka dan dibelenggu mimpi sang penjajah? Perlu diingat bahawa kitalah yang akan mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti. Jika perkara ini terus berlarutan, anda sendiri mampu menjangka apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.


MARILAH SAMA-SAMA KITA RENUNGKAN...

p/s: tak sabar nak pergi ke Pesta Buku Antarabangsa (mesti dapatkan juga buku Saasatul Ibaad-novel terbaru Faisal Tehrani)


Terima Kasih Daun Keladi! Kalau Senang Datanglah Lagi. Hik3!!

2 ulasan:

QaiYuM.NeT berkata...

Assalamualaikum.

Saya juga Peminat novel² Faisal Tehrani.

Disini saya ingin mengulas sedikit fahaman saya mengenai Nasionalisme.

Ya. Sememangnya istilah Nasionalisme Ini Sebenarnya diwujudkan oleh Bangsa Yahudi Yang Bertujuan Pada Asalnya Untuk Memisahkan Negara-Negara Arab Agar Tidak Bersatu. Ini Terkandung Dalam Protokol Zionis Mereka. Dengan Berbuat Demikian, Bangsa Arab Akan Menjadi Lemah Dan Hanya Mementingkan Bangsa & Suku Di Negara Mereka Masing² Tanpa Menghiraukan Orang Lain Diluar Suku Mereka.

Tetapi Kita Perlu Faham Bahawa Di Malaysia Tidak Mengamalkan Konsep Yang Sebegitu. Di Malaysia Konsep Nasionalisme Bukan Bermaksud Kita Hanya Mementingkan Kaum Sendiri. Tetapi Kita Yang Terdiri Dari Pelbagai Suku, Kaum Dan Bangsa Perlu Bersatu-padu Dalam Usaha Untuk Mewujudkan Malaysia Yang Harmoni. Pemimpin Menyuntik Semangat Nasionalisme Adalah Demi Supaya Kita Bersatu, Bukannya Berpecah Seperti Di Arab.

Nasionalisme Juga Banyak ditiup Sejurus Berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969. Pemimpin Waktu Itu Memikirkan Perlunya Rakyat Negara Ini Mengelakkan Jatidiri Racist @ Perkauman Dalam Diri Masing² Maka Nasionalisme Adalah Jawapannya.

Maka Kesimpulannya Sekali Lagi :
Nasionalisme Di Malaysia = Perpaduan Bangsa
Nasionalisme Di Arab = Perpecahan Bangsa

Sekian Untuk Menyumbang Sedikit Idea.

Selamat Meneruskan Menyokong Faisal Tehrani. Tapi Ambillah yang Baik Dan Jangan Diambil Mana Yang Tidak Perlu.

Abdul Qaiyum Borhan
http://qaiyum.net

Eja berkata...

Asslamualaikum...

Terima kasih atas pandangan dan komen daripada saudara.

Sebenarnya secara sedar atau tidak perpecahan dalam kalangan orang Melayu sedang berlaku. Saya tak mahu mengulas panjang akan hal ini. Kalaupun nasionalisme di Malaysia digunakan atas tiket perpaduan, mungkin itu hanyalah satu bentuk helah yang telah dirancang dan dicerna dengan cukup baik.

Saya cuma pemerhati kecil yang melihat kondisi di Malaysia pada hari ini.

Walaubagaimanapun, terima kasih atas pandangan daripada saudara.

Harap kita dapat sama-sama memberi kritikan membina agar kita dapat memperbaiki kelemahan dan khilaf diri.

Salam alaik...