Welcome to Eja Farieza's Blog. ! check it out. :)

Isnin, Julai 20, 2009

:: Antara Kasih dan Pengorbanan ::

Post kali ini cerpen nukilanku, bertatih mengenal dunia penulisan...


Di keheningan malam yang panjang dan suram, aku duduk termenung sendirian memikirkan keadaan diri. Aku mengelamun dan memikirkan hari-hari yang mendatang yang bakal kulalui sebagai seorang pelajar. Angin malam yang sejuk dipuput bayu menyelimuti kulit dan kesejukannya menusuk sehingga ke tulang hitam. Dingin dan damai sekali kurasakan. Angin malam bagaikan mengerti keadaan ku di kala ini.

“Along buat apa kat luar tu? Dah lewat malam ni, kenapa dok termenung kat luar? Masuk cepat!” Kedengaran suara emak yang menjerit dari dalam rumah.
“Ye, along nak masuk la ni.”

Aku pun bangun meninggalkan tempat dudukku tadi. Dengan langkah yang berat, aku masuk ke dalam rumah. Daun pintu ku tutup penuh hati-hati agar adik-adikku yang lain tidak terjaga dari tidur. Sebelum masuk ke bilik, aku melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri, aku terserempak dengan emak yang baru keluar dari bilik air. Mak hanya memandang kepadaku sambil melemparkan senyuman manisnya. Itulah emakku yang telah banyak berjasa. Mukanya yang berkedut menyimpan pelbagai rahsia dan cabaran yang dilalui sebagai ibu tunggal. Emak tetap tabah mengharungi onak dan duri demi membesarkan kami adik-beradik.

Sebagai anak lelaki sulung, aku tidak mahu lagi melihat emak bersusah-payah. Aku mesti buat sesuatu untuk membantu emak dan keluarga. Aku lelaki. Tulang empat keratku ini masih kuat. Kalau emak yang perempuan itu boleh membesarkan kami tanpa meminta pertolongan dari orang lain, masakan aku tidak. Ya,aku juga mampu buat perkara yang serupa! Malah lebih dari itu. Demi emak dan keluarga.

Aku terus masuk ke bilik air dan membersihkan diri. Setelah selesai, aku pun masuk ke bilik. Enak betul badan apabila bertemu tilam yang lembut. Sambil memeluk bantal busukku, aku kembali mengelamun. Entah kenapa, malam ini aku sukar melelapkan mata. Banyak perkara yang perlu aku fikirkan. Lebih-lebih lagi aku kasihan melihat emak. Perempuan tua itu sangat tabah. Sangat kuat.

Aku teringat kata-kata ibu selepas pemergian arwah ayah lima tahun yang lalu. “Walaupun kita susah, tapi ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Hiduplah dengan tulang empat kerat kita yang ada. Jangan meminta. Kita ada maruah dan harga diri.”

Kata-kata itulah yang menjadi pegangan hidupku hingga kini. Dan disebabkan kata-kata itulah, aku lihat emak tetap gembira walaupun kami semua dalam serba kekurangan. Tapi alhamdulillah, dalam serba kepayahan, aku dan adik-adikku yang lain tidak pernah mengeluh. Kami telah dididik untuk bersyukur atas setiap rezeki yang datang. Itu semua hasil dididikan emak dan abah.


***

“Along, bangun cepat. Kau tak sekolah ke hari ni. Nanti terlewat pula.” Mak mengetuk-ngetuk pintu bilik.

“Ye mak. Along tengah bersiap ni.”
“Oh...Mak ingat kau tak bangun lagi. Lepas bersiap terus ke dapur. Sarapan. Adik-adik kau ni ha dah lama menunggu.”

“Baik mak. Jap lagi along datang.” Setelah siap segalanya. Aku cepat-cepat ke dapur untuk bersarapan. Adik-adikku yang lain dah lama menanti. Dari jauh dah nampak muka cergas mereka. Arif, Siti dan Kasih. Itulah adik-adik kesayanganku. Yang sentiasa menghormati aku sebagai abang sulung mereka.

“Ha, tu pun along. Along ni lambat pulak hari ni. Selalu dia yang paling cepat kan Kasih.”

“A’ah, kita yang lambat. Hari ni terbalik pula.” Siti yang diam hanya tersenyum-senyum melihat keletah adik-adiknya. Mak pula sedang menyenduk nasi goreng dari kuali ke dalam mangkuk. Bau haruman nasi goreng menyegat hidung mereka.

“Ha, cakap apa tu? Mengumpat along ye?”

“Eh mana ada. Kami cuma cakap along hensem hari ni. Ada apa-apa ke?” serentak jawapan yang diberikan Arif dan Kasih.

“Ye la tu budak berdua tu. Bukan long, mereka cakap pasal...”

“Mak, sshh...jangan la bocor rahsia. Habis kami nanti.”

Arif menjawab dengan nada yang memujuk. Mulutnya sengaja dimuncungkan tanda merajuk. Kami yang melihat gelagat Arif. Tak habis-habis dengan lawaknya itu. Begitulah kehidupan kami anak-beranak seharian. Walaupun serba kekurangan tapi kami kaya dengan kasih sayang. Hubungan kami sekeluarga sangat rapat. Dan aku sudah cukup merasakan kami sekeluarga cukup bahagia. Alangkah bahagianya kalau abah masih hidup. Pasti dia berbangga dengan kami semua.


***

Selepas habis bersarapan, kami semua bersalaman dan mencium pipi emak sebelum ke sekolah. Arif dan Kasih masih bersekolah rendah. Manakala aku dan Siti bersekolah menengah. Kami bernasib baik kerana sekolah kami tidak lah jauh dari rumah. Kami semua ke sekolah berjalan kaki. Cuma sekolah aku dan Siti berada di hadapan gerai Pak Mat. Jadi kami perlu menyeberang jalan raya besar. Arif dan Siti pula tidak perlu menyeberang jalan kerana sekolah mereka berada betul-betul bersebelahan dengan gerai Pak Mat. Arif dan Kasih sangat rapat. Arif berada di tahun 5 manakala Kasih berada di tahun 3. Siti pula akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini.

Peperiksaan STPM makin hampir. Nasib baik wang saku yang kusimpan selama ini cukup untuk membayar yuran peperiksaan. Ditambah pula dengan duit gaji yang aku simpan hampir 3 bulan yang lalu. Memang cukup sangat. Tak apa lah, duit lebih nanti, aku akan beri kepada emak. Boleh tambah sikit duit belanja dapur. Nasib baik emak menjual kuih dan nasi lemak. Daripada hasil duit menjual kuih dan nasi lemak itulah kami dibesarkan. Pengorbanan emak tak akan aku lupa sampai akhir hayat. Aku bekerja selepas habis waktu sekolah. Selama aku bekerja hanya adikku, Siti saja yang tahu. Aku meminta Siti agar merahsiakannya dan Siti menjaga rahsiaku dengan baik. Aku tak mahu adikku sendiri tidak percaya dengan abang mereka. Siti pernah menyatakan yang dia sangat berbangga memiliki abang sepertiku. Segan juga aku dibuatnya. Tapi kata-kata itu menjadi perangsang kepadaku untuk menjadi abang yang lebih baik kepada adik-adikku.

Aku mengambil upah membasuh pinggan mangkuk. Aku hanya akan tiba di rumah sebelum maghrib. Siti memberitahu emak bahawa aku akan selalu pulang lewat kerana dikehendaki mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 1 di sekolah. Ibu hanya mengangguk tanda mempercayai akan kata-kata tersebut.

Setibanya aku di rumah. Emak akan menyambut baik kepulanganku. Aku terharu dengan sikap prihatin emak terhadap anak-anaknya. Siti yang setia menemani emak, hanya tersenyum di balik pintu. Arif dan Kasih sibuk menyiapkan kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru kepada mereka. Dan aku sebagai abang sulung juga berbangga memiliki adik-adik yang baik seperti mereka. Sitilah yang banyak membantu Arif dan Kasih dalam pelajaran. Aku akui yang Siti merupakan adik yang paling bijak. Walaupun dia agak pendiam, tetapi kadangkala dia tetap menyuarakan pendirian tegasnya tentang sesuatu perkara.

Pernah dulu aku terlewat solat. Aku tak sengaja. Aku betul-betul letih ketika itu. Siti datang mengejutku dan menyuruh aku membersihkan diri segera untuk solat. Dia tak mahu aku ketinggalan solat yang menjadi tiang agama. Sebagai abang yang dapat menerima teguran yang baik dari adiknya, aku bangkit juga dari pembaringan dan cepat-cepat mempersiap diri untuk mengadap Allah. Dan akhirnya hingga kini, aku menjadi imam solat Maghrib dan Isyak dalam keluarga. Aku sangat berterima kasih kepada Siti yang banyak membantu dan memberi teguran kepadaku.


***

Tahun ini, aku harus belajar bersungguh-sungguh untuk menempa kejayaan dalam peperiksaan kali ini. Aku harus membela nasib keluarga. Aku berharapa agar aku dpat masuk ke universiti dan itu merupakan impianku sejak kecil lagi. Sebagai anak sulung, aku harus menjadi contoh kepada adik-adikku yang lain. Aku tak mahu dianggap sebagai anak lelaki yang tidak boleh membela nasib keluarga. Aku berharap agar aku dapat mengubah nasib keluarga apabila sudah bekerja nanti. Bak kata pepatah, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.’

Malam itu, setelah selesai membuat kerja sekolah. Aku mengambil tabung dan mula mengira-ngira untuk membayar yuran pada esok hari. Dengan berhati-hati aku membuka penutup tabungku agar Arif tidak terjaga dar tidurnya. Kasih pula awal-awal sudah masuk tidur. Mengantuk sangat katanya. Emak dan Siti sedang sibuk menyiapkan kuih dan nasi lemak yang ingin dijual esok hari. Setelah mengira duit tabung yang lebih. Hampir dua ratus ringgit juga duit lebih tabunganku. Aku pun memasukkan duit tersebut ke dalam sampul untuk diberikan kepada ibu sebentar lagi.

“Mak, along ada perkara nak cakap dengan mak ni.”

“Kejap long, kenapa? Mak tengah sibuk mengelim karipap ni. Kau tu datang la sini. Ni ha, adik kau Siti ni pun ada.”
Mak sedari tadi masih setia mengelim karipapnya. Siti pula sedang sibuk memotong kuih talam yang telah disejukkan. Kuih-muih yang dibuat oleh emak memang sedap. Kalau ada kenduri di kampung, memang kuih emaklah yang akan ditempah orang. Ternyata kuih emak mendapat tempat di hati penduduk kampung. Nasi lemak juga tak kurang hebatnya. Setiap kali menjual, pasti nasi lemak habis dijual.

“Hmm...ye la. Along datang ni.” Aku melangkah perlahan ke dapur.

“Hah, apa dia along. Along ada masalah ke? Kalau pasal yuran tu, along beritahu cikgu along, dalam dua hari along boleh bayar. Nanti mak beri duitnya. Ya nak?” Celoteh emaknya sambil mengelm karipap.

“Bukan pasal tu mak? Sebenarnya...along...”

Aku takut untuk memberitahu duduk perkara yang sebenar. Takut emaknya menuduhnya menipu selama ini. Tapi, dia tak mahu menyusahkan emaknya. Dia tahu kesusahan yang dihadapi oleh emaknya.

“Cakap jelah along, apa yang susah sangat nak cakap ni?”

Siti hanya mendiamkan diri. Memberi peluang kepada aku dan emak untuk bercakap. Lagipun dia seakan mengerti hajat dalam hatiku.

Biarlah kali ini aku sendiri yang memberitahu perkara yang sebenar. Siti pun turut rasa bersalah sangat menipu emaknya selama ini. Tetapi demi aku, dia terpaksa.

Siti hanya tunduk membisu. Dia tahu abangnya sudah bersedia untuk menceritakan dan meluahkan rahsia yang selama ini terkunci rapat. Lagipun abangnya melakukan perkara yang baik. Adik mana yang tidak bangga mempunyai abang yang bertanggungjawab terhadap keluarga.

Aku duduk bersila menghadap emak.

“Hmm... Along nak bagi mak ni.” Dia mencapai tangan ibunya dan meletakkan sampul tersebut pada tapak tangan emaknya. Maknya terkejut dengan tindakan anak sulungnya.
“Apa ni along?” tanya emaknya dengan muka berkerut seribu.

“Mak bukalah, tengok sendiri apa di dalamnya.” Aku beseloroh sambil memandang Siti. Siti hanya tersenyum melihat tindakan abangnya. Emaknya pun membuka sampul tersebut. Terkejut bukan kepalang emaknya melihat duit kertas hampir dua ratus itu.

“Along? Mana along dapat duit banyak ni long. Along mencuri ye? Along pulangkan semula duit ni. Mak tak nak terima duit dari hasil yang tak halal ni. Pulangkan semula along!” Emaknya bersuara tegas lalu meletakkan semula duit tersebut ke dalam sampul dan diletakkannya di atas lantai. Aku yang terkejut dengan tindakan ibu tidak tahu apa yang harus dilakukan. Aku memandang Siti agar Siti dapat menolongku menjelaskan duduk perkara sebenar pada malam itu. Aku tak mahu lagi membohongi ibu. Lagipun, peperiksaan kami semakin hampir.

Siti yang seakan mengerti pandangan mata abangnya itu berhenti memotong kuih dan turut duduk bersila menghadap emaknya.

“Mak, sebenarnya itu memang duit along mak. Duit tabung along. Along menabung selama ini.” Siti memulakan perbualan.

“Macam mana along boleh menabung banyak macam tu sekali. Berapa sangatlah duit belanja sekolah yang mak bagi. Jangan nak tipu mak.” Emaknya masih meragui dengan kedua-dua orang anaknya itu.

“Betul mak. Memang along menabung dan memang itu duit dia. Seb..sebenar...sebenarnya, selama ni along...bekerja selepas pulang dari sekolah mak.” Siti yang takut-takut untuk memberitahu perkara sebenar, hanya tunduk memandang lantai. Emaknya terus berhenti dari mengelim karipap. Dia memandang kedua-dua orang anaknya.

“Apa sebenarnya yang along dan angah sembunyikan dari mak ni? Beritahu mak sekarang.” Tanya emak mereka dengan lembut walaupun dalam keadaan terkejut. Siti mencuit peha abangnya agar memberitahu perkara tersebut sendiri. Dia sudah mengalah.

“Seb...Sebenarnya selama ini, along bekerja mak. Along kerja cuci pinggan mangkuk kat warung. Along...along sebenarnya nak tolong mak, along nak berdikari. Along tak nak menyusahkan mak. Jadi...along kerja. Along minta maaf mak sebab terpaksa menipu mak selama ini. Dan angah pun tak bersalah mak. Along yang paksa dia.” Aku menceritakan perkara yang sebenar dengan suara yang tersekat-sekat. Lembut saja suaraku menjelaskan duduk perkara sebenar. Bimbang dimarahi emak.

“Along...mak tak sangka along sanggup buat mak macam ni. Kenapa along? Along dah tak percaya dengan mak lagi ke? Along pandai-pandai buat keputusan sendiri.” Emaknya seolah-olah merajuk. Tangisan emaknya sudah mula kedengaran. Man semakin dihimpit rasa bersalah. Dia turut menangis sama.

“Bukan macam tu mak. Along Cuma nak tolong kita. Angah bangga dengan along mak. Along bertanggungjawab. Lagipun along dah besar, along boleh buat keputusannya sendiri dan dia memilih cara yang betul untuk tolong keluarga kita. Along cari rezeki yang halal.” Cepat-cepat Siti membela abangnya yang tidak bersalah itu.

“Kalau mak rasa along ni anak yang tak berguna... Tak apa lah mak. Along faham. Memang along ni suka memandai-mandai. Along ni anak yang tak berguna!” Air mataku mengalir dengan laju.

Siti juga tidak tahan melihar air mata abangnya. Kali kedua dia melihat abangnya menangis. Kali pertama selepas pemergian arwah ayah dan ini yang kedua. Emaknya yang membatu sejak tadi memeluk erat kedua-dua anaknya. Dia baru sedar apa yang dilakukan oleh anak-anaknya adalah satu perbuatan yang mulia. Cuma caranya saja yang salah. Menipu dirinya.

“Along, angah... Maafkan mak sayang. Mak bangga dengan kamu berdua. Along, mak bangga dengan anak mak. Angah pun. Cuma, mak tak sangka kamu berdua menipu mak selama ini. Along, lain kali kalau nak buat apa-apa, terus terang dengan mak. Kalau caranya betul tak kan lah mak nak halang.” Emaknya bercakap dalam sebak. Aku dan Siti masih dalam pelukan emak lagi. Kami bertiga pun meluahkan isi hati masing-masing malam itu. Dan malam itu berlalu dengan sangat indah. Kasih sayang antara ibu dan anak terserlah. Malam itu, aku dan Siti menolong emak membuat kuih-muih dan nasi lemak yang hendak dijual esok. Kami membuat semuanya bersama-sama dengan gembira. Pada wajah emak terpancar wajah berseri dan bahagia kerana mempunyai anak yang baik, rajin dan bertanggungjawab.


***

Setelah selesai, kami semua masuk ke bilik tidur masing-masing. Aku pun masuk ke bilik. Perlahan-lahan aku baring atas tilam ku itu. Malam itu aku berasa puas hati kerana dapat meluahkan perkara yang aku sembunyikan selama ini. Akhirnya, emak menerima jua wang hasil tabunganku selama ini. Jauh di sudut hatiku agar, keluarga ini akan bahagia dan kekal gembira selama-lamanya.

“Emak, along berjanji mak, along akan ubah nasib keluarga kita. Along tak kan biarkan kita semua hidup susah lagi. Itu janji along”.

Man berkata-kata sendirian di dalam hatinya. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata ibunya yang menjadi pegangan hidupnya selama ini. “Walaupun kita susah, tapi ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Hiduplah dengan tulang empat kerat kita yang ada. Jangan meminta. Kita ada maruah dan harga diri.” Dan dia tertidur dengan kata-kata ibunya yang tersemat di hati.



Terima Kasih Daun Keladi! Kalau Senang Datanglah Lagi. Hik3!!

Tiada ulasan: